KJ Method: Teknik Penulisan Moden

Antara perkara yg membantutkan niat seseorang untuk menulis adalah tidak tahu mahu memulakan muqaddimah atau pendahuluan itu. Ideanya sudah ada tetapi untuk membangkitkan isu itu menjadi satu cabaran yang besar untuk penulis.

Baru-baru ini, saya sempat menghadiri Bengkel Penulisan bersama bekas YDP MPP USIM, ustaz Hariri bin Daud. Ustaz Hariri selalu menulis dan tulisannya selalu sahaja dipaparkan di surat khabar. Kagum dengan kemampuan ustaz Hariri, tetapi yg lebih menjadi perhatian adalah bagaimana ustaz Hariri boleh segagah itu untuk menulis dan terus menulis, sedangkan kami masih kebuntuan mencari ayat pendahuluan yang terbaik setiap kali mahu mula menulis.

Untuk menulis, keazaman yang jitu perlu wujud. Tidak cukup sekadar hangat-hangat tahi ayam. Momentum perlu dibina agar kita tidak terhenti setakat satu dan dua tulisan.

Penulis juga perlu mempunyai teknik agar idea yang ingin disampaikan jelas difahami oleh pembaca. Tidak merelet-relet lari daripada tajuk.

Memperkenalkan KJ Method

Antara teknik yang dikongsi oleh ustaz Hariri adalah KJ Method. Kelebihan teknik KJ Method adalah ianya membantu kita mencari idea dan menyusun idea secara lebih teratur. Kita juga tidak akan terbantut di ayat pendahuluan.

Pertama, keluarkan sehelai kertas A4. Kertas itu dilipat dua sebanyak 4 kali, menjadikan 16 kotak kecil akan terhasil. Potong kotak-kotak tadi sehingga menghasilkan 16 kertas kecil.

Kedua, fikirkan tema penulisan kita. Lalu fikirkan apa-apa kata kunci yang terlintas dI minda kita berkaitan tema tajuk pada kertas-kertas kecil tadi. Buka minda agar idea bercambah. Tidak perlu fikir idea itu releven atau tidak, tulis sahaja sesuka hati kita. Sebagai contoh, jika tema yang dipilih adalah 10 Muharram, kita boleh tulis kata kunci "puasa sunat", "bubur asyura secara gotong-royong", "peristiwa Karbala", "syiah", dan lain-lain kata kunci yang terlintas.

Ketiga, renung setiap kata kunci yang telah ditulis. Kategorikan/Himpunkan setiap kata kunci kepada label tertentu berdasarkan cita rasa kita. Tujuannya adalah supaya kita dapat mencari idea yang kita punya maklumat terbanyak berbanding idea lain, dan kita dapat mencari kaitan antara satu idea dengan idea yang lain. Ketika ini, kita boleh buang idea-idea yang tidak menarik dan lapuk serta tidak releven. Pilih dalam 4-5 kata kunci idea.

Keempat, susun idea-idea yang terpilih mengikut kesesuaian. Kita boleh memilih samada untuk susun berdasarkan turutan peristiwa, skop besar ke kecil, idea utama ke idea sampingan, atau apa-apa bentuk susunan yang difikirkan sesuai. Ini bertujuan bagi memastikan idea yang disampaikan teratur serta boleh dihadam oleh pembaca dengan lebih senang.

Kelima, mulakan menulis. Ketika inilah cabaran terbesar yang dihadapi oleh sebahagian besar penulis amatur iaitu untuk mencari ayat pertama. Untuk itu, KJ Method telah memberikan panduan agar usaha kita tidak terhenti di sini. Caranya sangat mudah tetapi tidak ramai mempraktikkannya iaitu tulis isi/idea dahulu. Terus kepada isi tanpa pendahuluan. Fokuskan kepada apa yang ingin disampaikan tanpa bunga-bunga pendahuluan. Tulislah idea itu mengikut apa yang telah disusun. Kita istilahkan proses ini sebagai proses menjahit isi.

Keenam, apabila jahitan isi telah selesai, barulah difikirkan ayat pendahuluan. Apa beza antara buat pendahuluan dahulu dan buat pendahuluan kemudian? Bezanya adalah tahap motivasi kita tidak terrganggu apabila pendahuluan dilewatkan sebagaimana jika kita memilih untuk menulisnya dahulu. Selain itu, perenggan pendahuluan kita jika tidak akan meleret-leret.

Untuk menulis pendahuluan perlukan teknik khas untuk menarik perhatian pembaca untuk meneruskan bacaan. Teknik-teknik ini sudah banyak dipelajari di sekolah. Hanya lagi mahu dipraktikkan sahaja. Antaranya adalah dengan memberikan fakta menarik, memetik kata-kata orang terkenal, berpantun, menulis rangkap lirik lagu, menyingkap kembali sejarah dan lain-lain. Bertitik tolak dari situ, hubungkan ayat pertama dengan idea/isi kita. Apabila sudah terhubung, hentikan pendahuluan dan jangan dileret-leretkan lagi.

Begitu juga dengan perenggan penutup. Kita boleh fikirkan satu perenggan yang merangkumkan semua idea secara ringkas, memberi solusi bagi beberapa permasalahan, memberi galakan bagi solusi yang diberikan, dan lain-lain teknik menulis perenggan penutup.

Apa pun, semua teknik-teknik yang diperoleh itu tidak akan berjaya jika kita tidak mula menulis, berlatih dan terus memperbaiki gaya penulisan. Penulis ingin sampaikan saranan ustaz Hariri kepada para penulis amatur iaitu panjangkan hasil penulisan kita kepada ruang-ruang yang tersedia seperti majalah, surat khabar, dan laman web dan jangan simpan tulisan kita untuk bacaan kita sendiri sahaja. Kita perlu menyebarluaskan penulisan kita agar kita nampak hasil penulisan kita justeru menjadi motivasi untuk terus menulis.

Ulasan

Bagus sudah mulakan dengan menulis dengan di blog. teruskan. cuma bagi menulis.. terus menulis... penyelidikan dan pembacaan antara komponen penting yg x boleh tidak mesti dilakukan penulis.. selemat menulis..
Unknown berkata…
@Merpati Putih

Terima kasih sir.. InsyaAllah.. Perlukan bimbingan penulis hebat seperti sir.

Catatan popular daripada blog ini

10 Tips Membeli Kereta Terpakai

Bukan Muslim katakan 'Ya' pada kewangan Islam