Neo-Sekularism Yang Tidak Disedari

Ulamak sejak zaman-berzaman telah lama memperjuangkan penentangan terhadap konsep sekularism. Barah sekularism yang menular dalam minda umat Islam ini telah ditanam oleh para penjajah, tidak kira penjajah Inggeris, Perancis mahupun lain-lain.

Di Tanah Melayu, sekularism mula bertapak apabila Perjanjian Pangkor termeterai. Perjanjian ini menetapkan bahawa urusan negeri diserahkan kepada 'penasihat British', manakala kuasa Sultan terhad pada urusan agama Islam dan adat resam Melayu sahaja.

Di satu sudut, kita nampak bahawa penjajah ini bermurah hati kerana membantu rakyat membentuk pentadbiran yang efisien tanpa mereka campur tangan dalam urusan agama kita. Tetapi dari sudut yang lain, perjanjian ini menatijahkan Islam dipinggirkan dalam proses membangunkan tamadun Melayu.

Usaha menentang sekularism ini dijalankan oleh para pejuang yang turut disertai bahkan kadang-kadang dipimpin oleh ulamak Islam seperti Dato' Bahaman di Pahang, Tok Janggut di Kelantan dan Abdul Rahman Limbong di Terengganu. Perjuangan mereka bukan semata-mata menghalau penjajah seperti yang digambarkan dalam buku-buku teks sejarah sekolah, bahkan mereka mahu mengembalikan perundangan berasaskan ajaran Islam di tanah air.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah antara parti yang lantang menentang konsep pemisahan agama dari pemerintahan. Parti yang menerima pengaruh daripada gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir ini turut menerima pakai prinsip perjuangan Ikhwanul Muslimin yang mana antara lain menyebut:
Islam adalah satu sistem yang lengkap, mencakupi seluruh aspek kehidupan.
Kesyumulan Islam merupakan antara mauduk dan subjek dakwah yang sering diutarakan oleh PAS. PAS tidak boleh menerima seandainya ada pihak yang cuba memisahkan Islam kepada juzuk-juzuk tertentu.

Neo-Sekularism

Sekularisme

Sekularism yang wujud hari ini adalah dalam pelbagai bentuk. Jika dahulu idea sekular ini mudah dikesan dengan penolakan kepada undang-undang Islam dalam pemerintahan, hari ini sekular telah berubah wajah kepada yang lebih moderat.

Meskipun ianya lebih moderat, tetapi ianya tetap tidak bertepatan dengan ajaran Islam.

Neo-sekularism tidak menolak agama dalam pemerintahan, tetapi agama dihadkan kepada beberapa perkara dan tidak dijadikan perlembagaan utama.

Faham Neo-sekularism berpendapat bahawa Islam tidak wajar dijadikan 'idealogi' negara, bahkan wajar diserahkan kepada individu-individu sahaja.

Dalam kata lain, untuk melaksanakan Islam dalam negara, individu-individu penting dalam negara yang perlu memainkan peranan untuk memerintah mengikut Islam, tanpa Islam perlu diangkat.

Fahaman ini berpendirian bahawa Islam itu pada isinya, bukan pada rangkanya. Dalam erti kata lain, apa yang lebih penting adalah prinsip-prinsip Islam, bukan undang-undang Islam.

Sekali pandang, hujah ini ada benarnya kerana Islam tidak jumud pada satu bentuk hukum sahaja. Apa yang menjadi asas kepada Islam adalah prinsip-prinsipnya yang kekal dan tetap sepanjang zaman dan tempat.

Namun, pegangan ini secara tidak langsung akan memadamkan izzah Islam sebagai sebuah sistem hidup dan pemerintahan yang lengkap dan sempurna. Islam hanya boleh dilaksanakan tetapi tidak boleh disebut.

Alangkah malangnya bagi sesiapa yang berpendirian sedemikian. Kerana pegangan ini bertentangan dengan apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Jika kita meneliti sirah perjuangan Rasulullah SAW, kita akan mendapati ada satu ketika Rasulullah SAW ditawarkan oleh para kafir musyrikin untuk menjadi pemimpin Mekah, dengan syarat Rasulullah SAW meninggalkan seruan Islam.

Tetapi, Rasulullah SAW menolak tawaran tersebut.

Persoalan yang timbul adalah mengapa Rasulullah menolak tawaran tersebut, sedangkan jika Rasulullah seorang yang berstrategi, Rasulullah boleh sahaja menjadi pemerintah Mekah lantas melaksanakan undang-undang Islam selepas itu.

Inilah kebijaksanaan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW tahu bahawa undang-undang Islam itu penting - lantaran keadilannya. Islam diperlukan untuk mengembalikan maruah para wanita yang terhina pada zaman jahiliyah, Islam diperlukan untuk mengharamkan riba yang menjadi darah daging jahiliyah, dan Islam diperlukan di setiap sektor untuk mengembalikan hak kepada pemiliknya.

Tetapi Rasulullah tidak mengambil jalan pintas. Jalan pintas tidak akan menjanjikan apa-apa melainkan harapan yang palsu. 

Jika Islam dilaksanakan tanpa penerapan nilai aqidah Islam yang sebenar, Islam yang meninggikan kalimah Allah itu tidak akan wujud. Yang wujud hanyalah struktur-struktur undang-undang yang boleh sahaja berubah sesuai dengan zaman.

Lantas, tidak wajarlah idealogi penolakan Islam sebagai aqidah negara. Islam perlu menjadi aqidah negara, bukan semata-mata pelaksanaan undang-undang. 

- Easy come easy go.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bertuahnya Memilih Bidang Ini

Bab 1: Ta'rif Istilah-istilah Asas (Syariah dan Fiqh)

Pengenalan Bay' Al-'Inah