Fungsi Kalkulator Biasa Yang Ramai Orang Tak Tahu

Sejak GST dilaksanakan, saya rasa ramai orang sudah mulakan langkah penjimatan. Kalau anda tidak mula berjimat, maknanya anda memang kebal dengan GST. Saya dan isteri pun sama sudah mulakan langkah penjimatan. Antara langkah yang kami ambil mula-mula adalah beli kalkulator.
Kalkulator yang saya beli tak mahal mana pun, hanyalah bernilai RM4.50 beli dari Mydin. Cukuplah untuk fungsi asas untuk membantu saya dan isteri membeli dengan lebih berhemah.
Waktu saya demo penggunaan kalkulator pada isteri saya, isteri saya tak tahu beberapa teknik penggunaan kalkulator ini yang sangat mudah dan membantu membuat perkiraan untuk membeli-belah. Saya ini pun tahu sebab dahulu berpengalaman membantu abah saya meniaga jual ikan dan sayur pagi-pagi. Asas kalkulator ini memang biasanya dikuasai oleh para peniaga.
Ok, sekarang saya nak kongsikan beberapa teknik penggunaan kalkulator yang tak ramai orang tahu/ tak manfaatkan.
1.       Kalkulator asas biasanya dilengkapi dengan fungsi memori. Butang memori biasanya ada 3 iaitu M+, M- dan MRC. Fungsi memori ini sepatutnya digunakan untuk menjumlahkan perbelanjaan. Cara penggunaannya mudah sahaja. Saya terangkan secara ringkas.
a.       Masukkan jumlah harga item 1, sebagai contoh RM3.50, lepas tu tekan M+. Maksudnya anda telah menambah RM3.50 ke dalam memori kalkulator anda.
b.      Anda bebas untuk gunakan fungsi Clear, nombor, tambah, tolak, darab, bahagi dan % untuk item seterusnya. Apa pun yang anda tekan tidak akan mengganggu memori kalkulator, asalkan anda tidak tekan butang M+, M- dan MRC. Setiap kali anda sudah dapat nilai barang yang menjadi pilihan, anda ulang langkah yang sama iaitu tekan butang M+ untuk masukkan nilai tersebut dalam memori.
c.       Jika anda tersalah masukkan nilai ke dalam memori, jangan risau! Anda boleh gunakan butang M- untuk menolak nilai tersebut dari memori.
d.      Di akhir pembelian, anda semak jumlah besar dengan menekan butang recall (MRC). Jumlah besar akan terpampang dengan jelas. Mudah sahaja kan?
2.       Untuk kira harga pembelian selepas diskaun atau selepas cukai, gunakan sahaja butang %. Mudah sahaja, tak perlu pening-pening fikir rumusnya. Tekan sahaja jumlah asal, kemudian tambah (untuk cukai) atau tolak (untuk diskaun), masukkan peratus yang dikehendaki, dan terakhir sekali tekan sahaja buang %. Harga baru selepas cukai/diskaun akan terpampang! Sebagai contoh untuk mengira harga seluar yang berharga RM40 dan diskaun ditawarkan adalah 40%, tekan sahaja RM40-40%. Mudah kan? Selepas dapat harga baru, masukkan ke dalam memori seperti diterangkan dalam tips 1.
3.       Untuk buat perbandingan harga, setiap brand akan bagi harga yang berbeza-beza dengan kuantiti yang mungkin tidak sama untuk dibanding-bandingkan dengan produk lain. Tips saya adalah tukarkan harga barang tersebut kepada kuantiti yang sama. Sebagai contoh, jika barang itu bernilai RM27 untuk 88 unit, buat pengiraan untuk harga seunit. Anda akan dapat membandingkan dengan produk brand lain, yang mana lebih murah.
Saya biasanya akan menukar kepada harga seunit atau harga setiap 100g. Terpulang kepada anda untuk tentukan kuantiti dan unit mana yang lebih mudah. Lebih bagus jika satu kuantiti dan unit sahaja sepanjang sesi supaya anda tak terkial-kial menghafal dan keliru dengan pengiraan item sebelumnya.

Jadi cukuplah sahaja tiga tips saya kongsikan. Semoga bermanfaat. Jom berjimat!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

10 Tips Membeli Kereta Terpakai

Bukan Muslim katakan 'Ya' pada kewangan Islam