Apa Guna?



Apa guna bertilam empuk, kalau mata tidak mengantuk. 
Biar baring di tepi dapur, tapi tidur nyenyak berdengkur. 

Apa guna gaji banyak, kalau barang naik mendadak. 
Biar saja gaji rendah, tapi barang harganya murah. 

Apa guna suami tampan, kalau perangai macam syaitan. 
Biar rupa hodoh, tapi tidak bodoh. 

Apa guna suami ada, tapi tak bagi nafkah dan tak kerja. 
Biar hidup seorang, nak buat apa tak siapa yang larang. 

Apa guna isteri cantik, kalau akal tidak cerdik. 
Biar rupa tidak menawan, tapi baik hati di dalam. 

Apa guna banyak isteri, makan pakai urus sendiri. 
Biar isteri seorang saja, makan pakai sudah tersedia. 

Apa guna anak ramai, kalau amanah tak tertunai. 
Biar anak sedikit, tapi beriman dan cerdik. 

Apa guna kenduri besar-besaran, kalau kahwin hanya sebulan. 
Biar kenduri sekadar saja, tapi jodoh kekal bahagia. 

Apa guna lauk banyak, kalau semua tidak enak. 
Biar lauk hanya satu, tapi sedap rasa dan bau. 

Apa guna makan banyak, kalau semua tak berkhasiat. 
Biar makan sedikit saja, tapi berkhasiat kesihatan terjaga. 

Apa guna hidang nasi, kalau suami tidak balik. 
Biar nasi dalam periuk, nak makan sendiri senduk. 

Apa guna lauk beraneka, kalau makan tiada selera. 
Biar lauk garam semata, kalau berselera kenyang juga. 

Apa guna banyak perabot, kalau rumah berserabut. 
Biar perabot tak seberapa, tapi sedap dipandang mata. 

Apa guna harta bertimbun, kalau fikiran selalu bingung. 
Biar harta tak seberapa, tapi tenteram hati dan jiwa. 

Apa guna harta membukit, kalau badan berpenyakit. 
Biar harta hanya sekadar, tapi badan sihat dan segar. 

Apa guna banglo mewah, hanya untuk pembantu rumah. 
Biar banglo tak payah buat, kerana anda sentiasa di pejabat. 

Apa guna rumah bermutu, kalau hanya untuk pembantu. 
Biar rumah rendah mutunya, tapi kita selalu di dalamnya. 

Apa guna banyak paip, kalau air tidak naik. 
Biar minum air telaga, tapi air sentiasa ada. 

Apa guna beg tangan mahal, kalau tiada ringgit dan riyal. 
Biar beg tangan sederhana, tapi beribu ringgit di dalamnya. 

Apa guna emas banyak, kalau risikonya kena rompak. 
Biar tak pakai barang kemas, tapi hati tidak cemas. 

Apa guna berpangkat tinggi, kalau banyak orang dengki. 
Biar hidup tidak berpangkat, tapi disukai oleh masyarakat. 

Apa guna berpelajaran tinggi, kalau rendah budi pekerti. 
Biar pelajaran hanya sederhana, tapi pandai menggunakannya. 

Apa guna ber'make-up' tebal, kalau mengaji sangat bebal. 
Biar muka tak pernah 'make-up', tapi mengaji petah dan cekap. 

Apa guna tudung di kepala, kalau nampak leher dan dada. 
Biar kepala ditutup rapat, leher dan dada juga adalah aurat. 

Apa guna memakai purdah, kalau siku nampak terdedah. 
Biar purdah tak payah guna, tapi yang lain ditutup sempurna. 

Apa guna berjubah labuh, kalau jarang dan nampak tubuh. 
Biiar pakai baju kurung biasa, tapi aurat ditutup semua. 

Apa guna sembahyang sunat, kalau yang fardhu tidak dibuat. 
Biar sembahyang sunat tak pernah, tapi yang fardhu sentiasa istiqamah. 

Apa guna puasa Ramadhan, kalau solat tidak ditunaikan. 
Biar solat cukup waktunya, puasa Ramadhan mengikutinya. 

Apa guna banyak sedekah, kalau hanya untuk bermegah. 
Biar sedekah hanya sezarah, tapi ikhlas kerana Allah. 

Apa guna berdakwah saja, anak isteri tidak dijaga. 
Biar dahulukan anak dan isteri, baru berdakwah ke sana ke mari. 

Apa guna ibadah banyak, kalau ujub dan riak. 
Biar sedikit amal ibadah, tapi ikhlas dan istiqamah. 

Apa guna ada kereta, kalau tak pandai memandunya. 
Biar hidup tiada kereta, naik bas lagi selesa. 

Apa guna kereta baru, kalau tiada lesen memandu. 
Biar kereta buruk dan lama, tapi lesen ada bersama.

Sajak oleh Pn Hamidah binti Mohd Nor (emak)

Ulasan

sheena berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Tanpa Nama berkata…
renung -renungkanlah, sebelum diri terlambat untuk mengetahuinya, bacalah dengan penuh kesedaran dari sekadar keseronokkan semata, beringat sebelum terlambat... :-)

Catatan popular daripada blog ini

Bertuahnya Memilih Bidang Ini

Bab 1: Ta'rif Istilah-istilah Asas (Syariah dan Fiqh)

Pengenalan Bay' Al-'Inah