Kewangan Islam: Sensitiviti Umat Islam di Tahap Mana?

Kekeliruan masharakat terhadap industri kewangan dan perbankan Islam tidak hanya melanda golongan bukan Islam, sebaliknya turut melanda umat Islam.

Tidak hanya orang-orang kampung, bahkan golongan terpelajar, golongan elit, pemegang PhD dan master, mahupun profesor di Universiti turut menghadapi masalah yang sama iaitu gagal memahami kewangan Islam dengan baik.

Persoalan atau isu terbesar yang wujud adalah dakwaan mereka bahawa perbankan Islam adalah sama dengan perbankan konvensional. Dakwaan ini turut ditambah dengan tuduhan bahawa bank-bank Islam tidak melakukan apa-apa perubahan dari bank konvensional melainkan menjenamakan produk bank dengan nama-nama yang lebih berbunyi Arab.

Masalah ini menjadi lebih parah apabila mereka gagal memahami keperluan kewujudan bank-bank Islam dalam sistem ekonomi negara. Penubuhan bank bagi mereka adalah haram dan tidak syarie, jadi pergilah pada mana-mana bank sekali pun tetap sama dan tiada beza.

Kesannya, mereka memilih untuk ke bank konvensional yang ternyata berasaskan riba untuk mendapatkan pinjaman bagi memiliki aset-aset seperti rumah, kereta atau untuk tujuan lain seperti kahwin, berniaga dan melabur.

Walhal, di sana ada perbezaan yang besar antara produk kewangan di bank Islam dan bank konvensional. Walaupun rupa  zahirnya sama, tetapi ianya dibezakan oleh akad.

Akad ini meskipun hanya beberapa patah perkataan, tetapi ianya memberi implikasi dan perbezaan yang besar jika dibandingkan dengan bank konvensional. Perbezaan ini akan lebih jelas dan ketara bila mana ada dispute atau perbalahan antara bank dan pelanggan kelak ataupun ekonomi negara menjadi tidak stabil.

Sepertimana perkahwinan dan zina dibezakan hanya dengan akad, begitu juga produk kewangan Islam dan konvensional. Akad itu menjadi titik pembeza antara hukum-hukum berkait.

Kewangan Islam hakikatnya menjadi satu rahmat kepada ekonomi. Hasil kewujudan produk kewangan Islam, barat berterima kasih kepada umat Islam kerana dapat mengelakkan kewangan peribadi mereka daripada terjejas teruk dengan ekonomi yang meleset.

Kita boleh lihat dalam industri perbankan dan kewangan baik di Malaysia, Asia Barat mahupun Eropah, bukan sedikit non-Muslim yang terlibat sama dalam membangunkan kewangan Islam. Pilihan mereka ini atas kesedaran mereka sendiri tentang kestabilan kewangan yang berpaksikan undang-undang Islam.

Oleh itu, sedarlah bahawa kewangan Islam tidak sama dengan konvensional. Perbezaannya sangat besar dan ketara, walaupun secara zahirnya kelihatan sama.

Mengapa Secara Zahirnya Bank Islam dan Konvensional Kelihatan Sama?

Secara zahirnya benar dan tidak dinafikan lagi bahawa bank Islam dan konvensional kelihatan sama melainkan pada istilah-istilah yang digunakan. Ini kerana bank-bank Islam banyak mengambil idea produk kewangan mereka daripada bank konvensional. Faktor ini memberikan kesan negatif kepada industri kewangan Islam dan menampakkan seolah-oleh kewangan Islam ini tidak kreatif.

Persepsi ini tidak mudah untuk disangkal. Walau bagaimanapun, kita harus sedar bahawa untuk mewujudkan satu-satu produk itu bukanlah satu proses yang mudah, lebih-lebih lagi dengan kewujudan hukum-hakam yang mengikat.

Dalam bank konvensional, apabila wujud satu permintaan untuk pembiayaan, bank tanpa perlu berfikir panjang akan meluluskan pinjaman dengan riba.

Sebaliknya dalam bank Islam, bank Islam perlu menganalisis pelbagai aspek baik kewangan mahupun perundangan Islam sebelum pembiayaan boleh dibuat.

Isi utamanya di sini adalah bank konvensional memiliki lebih ruang dan modal untuk melakukan research and development bagi membangunkan produk baru sesuai dengan permintaan pasaran. Sebaliknya, bank Islam terpaksa 'meniru' daripada bank Islam dan terpaksa melaburkan masa dan modal untuk melakukan filteration bagi menjadikan produk kewangan itu patuh kepada Syariah.

Maka tidak hairanlah jika persepsi masharakat mengatakan bank Islam mirip kepada bank konvensional.

Namun, faktor ini tidak sepatutnya menjadi alasan bagi bank-bank Islam untuk mewujudkan produk kewangan mereka sendiri yang bebas dari mirip kepada produk konvensonal.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Neo-Sekularism Yang Tidak Disedari

Bukan Muslim katakan 'Ya' pada kewangan Islam

4 Tips Menaikkan Rating Website Anda